Hits :  26591


Hukum Berurus Niaga Bersama Syarikat Atomy Menurut Muamalat dan Akidah

Jawatankuasa Muzakarah Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia (MKI) Kali Ke-120 yang bersidang pada 25 Januari 2022 telah membincangkan mengenai Hukum Berurus Niaga Bersama Syarikat Atomy Menurut Muamalat Dan Akidah. Berdasarkan kajian terperinci yang telah dilakukan, Muzakarah berpandangan bahawa Islam pada asasnya mengharuskan berurus niaga dengan orang bukan Islam selagi mana ianya tidak melibatkan perkara-perkara yang ditegah dan diharamkan oleh Islam.  Begitu juga penggunaan kaedah pemasaran jualan langsung secara Multi-Level Marketing (MLM), ianya juga diharuskan sekiranya tidak mengandungi unsur-unsur penipuan dan gharar.

Berkaitan hukum berurus niaga dengan Syarikat Atomy, dapatan kajian menunjukkan wujud bukti yang kukuh bahawa berurus niaga dengan Syarikat Atomy boleh memberi kesan dan ancaman secara halus kepada akidah umat Islam. Ini berdasarkan pengakuan secara terbuka pengasas dan ahli-ahli Atomy serta aktiviti-aktiviti mereka yang jelas menjurus kepada gerakan Kristianisasi.

Oleh yang demikian, berdasarkan Kaedah Fiqhiyyah sadd adz-dzari’ah (Menutup Pintu Kerosakan) bagi mengelakkan kemudharatan yang lebih besar kepada agama, umat Islam dilarang melibatkan diri dalam aktiviti urus niaga dan mempromosikan Syarikat Atomy atau apa-apa perniagaan seumpamanya yang menyumbang kepada gerakan anti Islam. Ketetapan ini adalah berdasarkan Kaedah Fiqhiyyah:

الضرر يزال

(Kemudaratan hendaklah dihilangkan) dan;

درء المفاسد أولى من جلب المصالح

(Membendung kerosakan lebih utama daripada mengambil manfaat)

Meta Data