Hits :  9219


Hukum Ajaran Makrifat Oleh Ismail bin Ariffin @ Lepat dan Ajaran-Ajaran yang Seumpamanya Dengannya

Jawatankuasa Muzakarah Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia (MKI) Kali Ke-120 yang bersidang pada 25 Januari 2022 telah membincangkan mengenai Hukum Ajaran Makrifat Oleh Ismail bin Ariffin @Lepat. Berdasarkan kajian terperinci yang telah dilakukan terhadap fahaman dan pemikiran Ismail bin Ariffin @Lepat yang terkandung dalam ungkapan, ucapan, dialog dan siri-siri perbincangan dan ceramah beliau sama ada melalui video-video, laman sesawang, akaun-akaun media sosial dan penulisan bahan penerbitan bercetak seperti buku dan novel, maka dapat dirumuskan bahawa Ajaran Makrifat Ismail bin Ariffin @Lepat mengandungi keraguan, kekeliruan dan penyelewengan dari segi akidah, syariah, tasawuf dan tafsiran-tafsiran terhadap ayat al-Quran seperti berikut:

  1. Dalam aspek akidah, kefahaman dan pemikiran yang dibawa oleh Ismail bin Ariffin @ Lepat ini menyerupai fahaman mujassimah dan mushabbihah serta kecenderungan kepada konsep hulul dan ittihad yang bercanggah dengan akidah Ahli Sunnah Wal Jamaah.
  1. Dalam aspek syariat, Ajaran Makrifat oleh Ismail bin Ariffin @Lepat mempunyai unsur-unsur batiniah kerana wujudnya kecenderungan meremehkan syariat solat dan menghuraikan ibadah solat bertentangan dengan syariat Islam.
  1. Dalam aspek tasawuf, Ajaran Makrifat oleh Ismail bin Ariffin @Lepat mengandungi unsur-unsur yang memisahkan hubungan antara syariat, hakikat dan makrifat serta tidak memahami ilmu tasawuf dan makrifat yang sebenar menurut Ahli Sunnah wal Jamaah.
  1. Penafsiran Ismail bin Ariffin @Lepat terhadap ayat-ayat al-Quran dalam ilmu makrifatnya menggunakan lojik akal, tidak menepati konteks ayat-ayat tersebut dan tidak bertepatan dengan tafsiran muktabar Ahli Sunnah wal Jamaah.

Sehubungan itu, Jawatankuasa Muzakarah bersetuju memutuskan bahawa:

i.   Ajaran Makrifat oleh Ismail bin Ariffin @Lepat dan ajaran-ajaran yang seumpama dengannya adalah menyeleweng daripada ajaran Islam yang sebenar dan bercanggah dengan pegangan Ahli Sunnah wal Jamaah.

ii.  Mana-mana individu atau kumpulan yang mengamal dan menyebar fahaman, ajaran dan pegangan seumpama ini adalah menyeleweng daripada ajaran Islam.

iii.  Orang Islam hendaklah menjauhi fahaman dan ajaran ini dan dilarang berpegang dan beramal dengannya. Mana-mana orang Islam yang telah mengikut dan mengamalkan ajaran ini hendaklah segera bertaubat kepada Allah SWT.

iv.  Apa-apa publisiti, pengajaran, penulisan, penyiaran dan penerbitan bahan bercetak, audio visual atau apa-apa yang berkaitan dengan Ajaran Makrifat Ismail bin Arifin @Lepat adalah tidak dibenarkan dan perlu disekat.

v.  Umat Islam hendaklah berpegang kepada pegangan Ahli Sunnah wal Jamaah dari aspek akidah, syariah dan tasawuf yang berdasarkan kefahaman Islam sebenar menurut pegangan Ahli Sunnah wal Jamaah arus perdana umat Islam: iaitu dari segi akidah berpandukan manhaj Asyairah dan Maturidiah, dari segi syariah berpandukan manhaj Shafie serta mazhab muktabar yang lain seperti Hanafi, Maliki, Hanbali ketika diperlukan dalam menyelesaikan masalah                        tertentu dan dari segi tasawuf berpandukan manhaj Imam al-Junaid, Imam al-Ghazali serta aliran tasawuf yang sahih dan muktabar.

vi. Muzakarah menggesa semua pihak berkuasa agama Islam negeri dan agensi-agensi lain yang berkaitan supaya mengambil tindakan menyekat dan  mengharamkan apa-apa kegiatan penyebaran dan penyelewengan Ajaran Makrifat oleh Ismail bin Ariffin@Lepat termasuk penyebaran buku “Antara Ustaz Ilmu Adab Dengan Seketul Tahi” dan buku-buku lain yang mempunyai  unsur-unsur penyelewengan seumpamanya daripada terus tersebar dan mengancam akidah seluruh umat Islam.

Meta Data