FATWA /
PANDANGAN
HUKUM

SOAL JAWAB
HUKUM

PANDANGAN
PAKAR

ARTIKEL

GARIS
PANDUAN

AKTA/
ENAKMEN

PROSES PENGELUARAN PANDANGAN HUKUM OLEH JAWATANKUASA

 

Setiap isu yang akan dibawa untuk mendapat pandangan hukum oleh Jawatankuasa akan melalui proses kajian dan penyelidikan terlebih dahulu. Penyelidikan isu-isu ini akan dilaksanakan oleh pasukan penyelidik yang dibentuk dan akan membentangkan kertas cadangan penyelidikan untuk dibentangkan di dalam Jawatankuasa Pengurusan Penyelidikan Fatwa. Jawatankuasa ini merupakan sebuah jawatankuasa kecil yang dibentuk bagi membantu Jawatankuasa Muzakarah MKI dalam penyelidikan isu-isu yang memerlukan pandangan hukum. Hasil penyelidikan yang telah dibentangkan dan mendapat maklum balas daripada Jawatankuasa ini akan dibawa ke mesyuarat Jawatankuasa Muzakarah MKI.

 

Penyelidikan terhadap isu- isu yang memerlukan pandangan hukum ini juga dilaksanakan oleh Bahagian Penyelidikan JAKIM melalui Panel-Panel Pakar JAKIM sama ada ia berkaitan isu-isu Syariah, Akidah atau Muamalat. Hasil kajian dan syor panel-panel ini seterusnya diangkat untuk perbincangan di peringkat Jawatankuasa Muzakarah MKI.

 

Sebelum pembentangan dalam Jawatankuasa Muzakarah MKI, isu – isu yang hendak dibentangkan serta pelaksanaan mesyuarat ini akan disembah maklum untuk perkenan Majlis Raja-Raja melalui memorandum yang disediakan.

 

Apabila Jawatankuasa telah memutuskan pandangan hukum terhadap isu-isu yang dibentangkan, pandangan hukum ini akan dimaklumkan di dalam Mesyuarat Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia (MKI) seterusnya pengesyoran ini akan disembah maklum kepada Majlis Raja-Raja.

 

Setelah Majlis Raja-Raja mengambil maklum pandangan hukum yang telah dipersembahkan, pandangan hukum tersebut akan dimaklumkan kepada pihak-pihak berkaitan serta pihak berkuasa fatwa Negeri. Jika negeri-negeri berhasrat menjadikan pandangan hukum sebagai fatwa, ia akan dibawa untuk proses pengeluaran fatwa di negeri masing-masing.